PSH ditakrifkan sebagai proses pendemokrasian pendidikan melalui penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran dan keterampilan menerusi kaedah formal, bukan formal dan tidak formal. Menurut Guidelines To Good Practices: Accreditation Of Prior Experiential Learning dari MQA kaedah formal, bukan formal dan tidak formal ditakrifkan seperti berikut:
a) Formal
Pembelajaran yang disengajakan / program pengajian yang disampaikan dalam satu konteks yang terancang dan berstruktur (pra- sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, kolej teknikal dan universiti) yang boleh membawa kepada penganugerahan formal / kelayakan yang diiktiraf.
b) Bukan Formal (non-formal)
Pembelajaran yang selari dengan sistem pendidikan dan latihan arus perdana. Ianya boleh dinilai tetapi lazimnya tidak akan membawa kepada pensijilan yang formal.
c) Tidak Formal (in-formal)
Pembelajaran secara berterusan sepanjang hidup serta pengalaman kerja (juga dikenali sebagai pembelajaran berasaskan pengalaman). Ia biasanya pembelajaran yang diperolehi secara tidak disengajakan.